PUTRAJAYA: Hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi adalah seperti hukum asalnya iaitu 'halal dimakan', demikian menurut Fatwa Majlis Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata ia termasuk dalam kategori keadaan 'Umum al-Balwa', iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.
"Dalam kes produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, dan juga telah disahkan sebagai HALAL tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk (kelompok tertentu sahaja), maka dalam keadaan ini, Muzakarah telah memutuskan bahawa ia adalah dikategorikan sebagai 'Umum al-Balwa'.
"Hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan amat sukar dielakkan," katanya dalam satu kenyataan Khamis.
Abdul Shukor berkata umat Islam yang termakan coklat itu juga tidak perlu ragu-ragu atau terlalu gusar terhadap kesucian tubuh badan mereka dan tidak perlu menyamak perut, mulut atau menukar darah.
"Islam bukanlah agama yang terlalu ketat (rigid) dan menyusahkan umatnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan atau perbuatan yang di luar pengetahuan dan kawalan," katanya.
Beliau berkata pendekatan hukum yang dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan itu adalah selaras dengan ajaran Islam yang bersifat rahmah dan tidak memberatkan umatnya dalam kedaan yang mereka tidak ketahui atau tidak sedari sehingga menyukarkan kehidupan seperti pencemaran DNA babi dalam produk makanan seumpama ini.
0 comments:
Post a Comment